Kena kejar sebab tak bayar cendol

  • 10 months ago
KUALA LUMPUR – Lari selepas langgar motosikal di lampu isyarat punca pemandu kereta jenis Nissan Almera dikejar di sepanjang Jalan Gombak dari arah Taman Sri Gombak menghala ke Sentul Point, di sini semalam.

Bagaimanapun, suspek yang juga pemandu kereta itu masih belum tampil ke balai polis untuk membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 2.05 petang.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa sebuah motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat tiba-tiba dilanggar oleh sebuah kereta jenis Nissan Almera.

“Suspek melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal jenis Yamaha LC135 seterusnya melanggar bahagian kiri sebuah Proton Saga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sarifudin, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi dua minit 19 saat dimuat naik di aplikasi Twitter yang memaparkan pemandu terbabit memandu secara melulu sebelum berhenti di tengah-tengah jalan.

Menurut ciapan pemilik akaun, sebelum kejadian sekumpulan remaja bertindak melarikan diri menaiki kereta terbabit selepas dikatakan tidak membayar pesanan cendol.

Recommended