'Jawatan bukan satu tekanan tetapi tanggungjawab'

  • 5 years ago
Ketua Hakim Negara wanita pertama, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menyifatkan jawatannya bukan satu tekanan tetapi tanggungjawab yang akan digalas serta dilaksanakan sebaiknya.

Beliau mengakui isu jantina tidak timbul dalam jawatan yang digalasnya berikutan semua tugas perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Sejujurnya, saya tidak merasa tekanan. To me gender is not affected at all. Sama ada lelaki atau wanita, tanggungjawab sama harus dilaksanakan sebaik mungkin.

“Semuanya berbalik kepada rezeki dan saya bersyukur… dilantik sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama bukan satu isu dan tapi saya menganggap ia sebagai rezeki,” katanya pada sidang media rasmi selepas pelantikannya di pejabatnya, di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Wanita yang akan berumur 60 tahun pada Julai ini, mengucapkan rasa syukur apabila menerima jawatan tertinggi itu yang sekaligus mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara dan turut mengucapkan terima kasih kepada Yang Di-Pertuan Agong dan bekas ketuanya, Tan Sri Richard Malanjum atas pelantikannya itu.