'Kemenangan ini bukan milik saya, tetapi milik rakyat Malaysia'

  • 7 years ago
Pemain bola sepak Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Ilahi di atas kejayaannya dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, di Zurich, Switzerland awal pagi tadi.

Dalam rakaman video yang dimuat naik FA Penang, Faiz juga berbangga kerana menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi anugerah berprestij tersebut.

Faiz berkata kemenangan hari ini bukan menjadi miliknya tetapi untuk semua rakyat Malaysia yang telah mengundi jaringannya bagi merangkul anugerah yang mengiktiraf jaringan tercantik bagi 2016.

Mohd Faiz merupakan 'arkitek' dan jaringannya disifatkan 'melanggar hukum fizik' ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Feb tahun lepas.

Pemain Liga Super itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.

Mohd Faiz meraih 59.46 peratus undian, manakala Marlone (22.86 peratus) dan Rodriguez (10.01 peratus).