Apa kejadah presiden UMNO ni? - Lokman Adam bidas Zahid Hamidi

  • 4 years ago
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyanggah beberapa alasan yang didakwa diberikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan parti itu berkerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Lokman mendakwa Ahmad Zahid menyatakan alasan itu pada mesyuarat Jawatankuasaa Perhimpunan Muafakat Nasional yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Tajuddin Abd. Rahman.

Katanya, antara alasan yang diberi oleh Presiden UMNO itu ialah parti itu perlu menjaga Muafakat Nasional disebabkan PAS hendak kerjasama dengan Mahathir, yang mana ia perlu mengikutnya supaya tidak ketinggalan.

“Kenyataan Zahid ini jelas membuktikan bahawa beliau adalah manusia yang suka menyalahkan orang lain demi menghalalkan tindakannya,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebooknya semalam.

Beliau yang menyifatkan Ahmad Zahid sebagai seorang Presiden yang lemah dan tiada jati diri turut menafikan alasan UMNO tidak boleh selesaikan masalah Datuk Seri Najib Razak jika parti itu tidak berkerjasama dengan Mahathir.

Dakwa Lokman, selepas menggunakan nama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menghalalkan tindakannya berunding dengan Dr. Mahathir, kini Presiden UMNO itu menggunakan nama Najib.

Menurut Lokman, UMNO memerlukan pemimpin yang bersedia untuk membela nasib rakyat dan bukan mereka yang sanggup berkompromi dengan penguasa demi menyelamatkan diri daripada dipenjara dan mengejar jawatan dan habuan.

Kredit Video: Facebook Lokman Adam