Pelajar Nigeria mati akibat kegagalan jantung, bukan disiksa - Suhakam

  • 4 years ago
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendedahkan kematian pelajar pascasiswazah pada Julai lalu bukan disebabkan oleh penyiksaan.

Pemeriksaan bersama pihak berkuasa forensik menunjukkan Thomas Orhions Ewansiha meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan Jabatan Imigresen telah menangguhkan penyediaan perubatan kepadanya, kata Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph.

"Kita telah periksa semua perkara... kita buat siasatan semua yang terlibat.

"Dari hasil temu bual forensik dan pegawai, tak ada luka yang bagi tahu ada siksaan. Luka di kaki luka lama dan tak menyumbang kepada kematian. Ia keadaan jantung dan isu kesihatan.

"Dia memang ada ubat... dosage tak betul. Ubat tepat tapi dosage half lower. Jabatan Imigresen cuai dengan tunda beri ubat dan tak mampu periksa kecuaian.

"Semasa pegawai perubatan yang bertugas tanya apa ubat ambil, dan tunjuk ubat, si mati kata ini lah dia, tapi dia tak pasti dosage...

"Tapi bila Suhakam periksa dengan doktor swasta, ubat yang diberi tak lengkap. Saya tak salahkan klinik imigresen, tapi kalau anda tak bawa ke hospital, kemudian ada jurang... penangguhan yang boleh menyebabkan kecederaan yang serius," kata Joseph pada sidang media di Kuala Lumpur.

Joseph juga menegur Jabatan Imigresen atas penahanan Ewansiha yang disifatkannya tidak perlu.

"Dengan teknologi sekarang, kenapa kita tak boleh periksa, sahkan... apabila anda tunggu tiga ke empat hari, sesuatu seperti ini terjadi... Saya tidak fikir ada keperluan untuk menahan orang hanya untuk mengesahkan kesahihan dokumen mereka," katanya.

Ewansiha, 34, meninggal dunia di Depot Tahanan Imigresem Bukit Jalil pada 9 Julai lalu.