Johor umum bonus sebulan gaji, minimum RM2,000

  • 5 years ago
Johor mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada 13,400 penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata bantuan khas itu bagi membalas komitmen, dedikasi dan pengorbanan penjawat awam negeri ini.

Katanya, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM34.78 juta.

Katanya, bantuan kewangan itu akan dibayar sebanyak dua kali, iaitu sebelum akhir tahun ini dan juga sebelum Aidilfitri tahun depan.

“Bantuan khas kewangan ini turut dipanjangkan kepada kakitangan kerajaan negeri dan kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

“Ia juga membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (EXCO), Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Timbalan Speaker DUN Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, dan Ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor.

“Turut menikmati bantuan khas itu ialah Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain ( KAFA), Petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ),” katanya .

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2020) Bagi Penggal Persidangan Kedua DUN Johor Yang Ke-14 di sini, hari ini.