4 penunggang motosikal melambung rempuh kereta

  • 5 years ago
Empat pemuda cedera selepas motosikal ditunggangi mereka melanggar sebuah Perodua Myvi yang terbabas dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 25 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), arah Cyberjaya ke Kelana Jaya, pada petang Ahad.

Dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kemalangan itu berpunca daripada pemandu Perodua Myvi yang mengekori rapat kereta Mazda CX3 tidak sempat menekan brek lalu melanggar belakang kenderaan itu.

Menurutnya, perlanggaran itu menyebabkan kereta Myvi terbabit terbabas dan melintang di lebuh raya sebelum dilanggar pula oleh empat buah motosikal yang melalui laluan sama.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi terlanggar belakang kereta Mazda CX3 menyebabkan kenderaan itu (Mazda) terlajak ke hadapan dan melanggar Proton Persona.

“Kereta Myvi itu pula kemudiannya terbabas secara melintang ke bahagian kanan jalan lalu dilanggar empat motosikal,” katanya.

Katanya, seorang daripada penunggang motosikal terbabit cedera di bahagian dada dan luka pada lutut kiri; seorang lagi patah tulang pinggul serta pergelangan tangan kanan.

Penunggang ketiga patah pergelangan tangan kiri manakala penunggang motosikal keempat retak kaki kiri.

Katanya, semua mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

“Setakat ini, hanya pemandu Mazda dan Persona yang tampil membuat laporan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.