Senator BN kaitkan permainan 'angry bird' dalam isu transgender

  • 6 years ago
Seorang senator BN mengaitkan permainan popular ‘angry bird’ dalam memahami kesulitan yang dihadapi oleh kumpulan transgender di negara ini.

Senator Datuk Seri Khairudin ES Abd Samad berkata beliau berharap pentadbiran semasa akan menyelesaikan masalah kumpulan berkenaan.

Semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, semalam, senator itu meminta semua pihak supaya tidak terbawa-bawa dengan isu berkenaan. Sambil mengakui adalah janggal bagi beliau menggunakan tandas ketika pembersih wanita sedang menjalankan tugasnya, katanya, akan menjadi lebih janggal apabila seorang trasgender berdiri di sebelahnya.

“Cuba bayangkan itu, kita tengah berdiri di urinal bowl (mangkuk kencing) tak tahu di sebelah kita satu gadis berdiri di situ juga, buat kerja sama dengan kita.

“Bayangkan, apa hal dia kencing berdiri, jadi ini juga jadi masalah, maka mereka ini masuk di tempat perempuan , dia masuk (jerit) aiyo aiyo orang perempuan lari keluar,” katanya

Senator Umno itu berkata demikian ketika mengulas pertemuan antara aktivis transgender Nisha Ayub, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Mujahid Yusof Rawa dan timbalannya Fuziah Salleh di Putrajaya pada 10 Ogos.