Denis Chairis temui ketenangan tanpa Nirwana

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR - Selepas lapan tahun bersama kumpulan Nirwana kini vokalis kumpulan dari seberang itu mencuba untuk mengorak langkah sebagai penyanyi solo.

Denis yang menjadi selebriti undangan segmen Jom Chat dalam portal berita Utusan Online baru-baru ini menjelaskan, di antara dirinya dengan anggota lain kumpulan Nirwana tidak berkelahi sebaliknya beliau mahukan ketenangan dalam berkarya.

"Selepas tidak lagi bersama band Nirwana, saya berfikir biarlah saya bikin kerja di belakang tabir sahaja seperti mencipta lagu dan lirik, menerbitkan album penyanyi-penyanyi lain dan membuat susunan muzik.

"Namun Pak Othman, Pengarah Urusan Life Records Singapura dan Malaysia mahu saya terus menyanyi.

"Maka saya sahut permintaan beliau dan alhamdulillah, saya kini tampil dengan single pertama berjudul Takut Kehilanganmu ciptaan sepenuhnya oleh saya sendiri," katanya.

Denis yang kuat darah Jawa mengalir dalam tubuhnya bersyukur kerana Takut Kehilanganmu mendapat sambutan baik daripada peminat muzik Malaysia-Indonesia.

Bukan itu sahaja yang membuatkan anak tunggal yang masih bujang ini gembira dan bersyukur apabila karier seninya berada di landasan yang betul.

Beliau juga mengakui karier seninya kini lebih terurus kerana di Indonesia, CBM berfungsi sama dengan Life Records.

Denis yang bekerja kuat membuat promo tour di Malaysia berharap para peminat di segenap pelosok tanah air akan berterusan menyokong karier seninya.

"Para peminat mengenali dan menerima lagu Sudah Cukup Sudah yang menjadi lagu selamat tinggal antara saya dan Nirwana.

"Jadi, besarlah harapan saya lagu Takut Kehilanganmu juga diterima sebaik lagu Sudah Cukup Sudah, " kata anak yatim piatu ini yang juga mempunyai suara emas. - UTUSAN ONLINE