Dua beranak warga Thailand maut dalam kebakaran

  • 4 years ago
Dua beranak warga Thailand maut dalam kebakaran di bangunan rumah kedai yang menjalankan perniagaan restoran masakan Thai di Jalan Air Itam, Datuk Keramat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, Aishah Tok Pok Ku, 51, yang berada di ruang dapur dan sedang membuat persiapan bagi membuka restoran naik ke tingkat dua rumah kedai itu untuk menyelamatkan ibunya Minah Yahya, 80, namun kedua-duanya terperangkap di tangga ketika api sedang marak.

Pekerja restoran itu, Rohana Abdul Rahman, 33, yang juga warga Thailand berkata semasa kejadian beliau berada di bahagian dapur bersama Aishah yang merupakan tauke restoran tersebut telah ternampak percikan api di bahagian suis lampu di tingkat atas dan terus memaklumkan kepada Aishah.

"Tiba-tiba terus keluar api dari situ dan saya menjerit untuk beritahu Kak Sah (Aishah) dan dua lagi kawan yang tengah kerja di restoran...waktu tu Kak Sah terus naik atas untuk selamatkan maknya tapi saya pegang halang dia naik sebab api dah marak, dia tolak saya dan terus naik juga.

"Kami semua keluar dari kedai sebab api dah semakin marak tapi masa tu memang dok nampak Kak Sah tarik mak dia turun kat tangga, saya nampak ada kayu timpa depa (mereka) dan api pula makin besar.. saya minta tolong orang telefon bomba supaya dapat selamatkan Kak Sah dengan maknya," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini hari ini.


- Bernama