Menara One City dikawal ketat, penghuni tak dibenar keluar, minta bantuan belikan barang

  • 4 years ago
Kerajaan memutuskan pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur berkuat kuasa 31 Mac hingga 13 April ini.

Arahan PKPD ketiga itu membabitkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu.

PKPD di kawasan itu diputuskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan ada 17 kes positif jangkitan COVID-19 di Menara City One.

Tinjauan KiniTV di lokasi mendapati beberapa penghuni di kondominium ini menelefon rakan mereka untuk meminta bantuan membelikan makanan dan barang harian.

Mereka hanya boleh meletakkan makan dan barang tersebut di tepi bahagian pejalan kaki tanpa bersemuka dengan penghuni terbabit.

KiniTV juga mendapati antara yang terlibat mengawal seluruh kawasan itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Dengan pelaksanaan perintah itu.

* Semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

* Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

* Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan di menara itu.

* Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.

* Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

* Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.