Kerajaan setuju harga penutup muka paling mahal RM1.50 sekeping

  • 4 years ago
Kerajaan bersetuju untuk menetapkan harga siling penutup mulut dan hidung tiga lapis dijual pada harga tidak melebihi RM1.50 sekeping.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga adalah Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), seperti yang diarahkan kerajaan sebelum ini.

"Pagi tadi kita (Majlis Keselamatan Negara) membincangkan perkara ini dan kita dapati bahawa topeng muka tidak banyak dikeluarkan dari dalam negara dan kebanyakkannya diimport dari luar negara.

"Jadi, kita juga terikat dengan harga yang diimport tadi. Oleh itu mesyuarat bersetuju harga topeng muka adalah RM1.50. Iaitu 0.50 sen lebih murah daripada harga yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu RM2," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.