11 rakyat Malaysia di luar negara sah positif COVID-19

  • 4 years ago
Wisma Putra telah mengenal pasti 11 rakyat Malaysia di luar negara yang dijangkiti Covid-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sembilan daripadanya di Singapura dengan dua telah dibenarkan keluar hospital dan selebihnya masih dirawat.

"Dua lagi yang dijangkiti Covid-19 adalah di Jepun dan mereka telah pulang ke Malaysia.

"Bagaimanapun, jumlah berkenaan akan disahkan dengan kementerian lain supaya tidak berlaku percanggahan dengan apa yang diumumkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata sejumlah 54,430 rakyat Malaysia yang berada di 10 negara yang paling teruk terjejas ekoran penularan Covid-19 sudah berdaftar dengan Perwakilan Malaysia di negara terlibat.

Daripada jumlah itu, 14,929 rakyat Malaysia berada di China, Korea Selatan (4,297), Itali (380), Iran (67), Jepun (6,019), Perancis (2,401), Jerman (2,218), Sepanyol (150), Switzerland (790) dan paling ramai di Amerika Syarikat iaitu seramai 23,179 orang.

Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk 841 penjawat awam dan keluarga masing-masing yang turut menetap di 10 negara berkenaan.