Kekosongan CEO Prasarana, MAHB akan diisi warga tempatan - Anthony Loke

  • 4 years ago
Jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi kedua-dua Prasarana Malaysia Bhd serta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan dipegang oleh warga tempatan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata lembaga pengarah Prasarana dan MAHB akan menyerahkan senarai calon yang berpotensi bagi jawatan itu kepada Kementerian Pengangkutan.

"Dua syarikat ini adalah aset strategi penting kepada Kementerian Pengangkutan dan bagi kerajaan, saya pasti kedua-dua ketua pegawai eksekutif itu akan dilantik daripada kalangan orang tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis permeteraian perjanjian tambahan bagi Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pada 7 Jan. dilaporkan bahawa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, yang dilantik menjawat jawatan itu pada 3 Sept, 2018, digantung tugasnya oleh lembaga pengarah syarikat tersebut.

Sehari sebelumnya, MAHB mengumumkan kepada Bursa Malaysia Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Raja Azmi Raja Nazuddin memutuskan untuk melepaskan jawatannya bagi mengejar peluang lain.

Sementara itu, Lim berkata terdapat ramai golongan profesional Malaysia yang berupaya mengisi jawatan itu.

"Ramai rakyat Malaysia di seluruh dunia yang memegang jawatan sangat penting sama ada di Amerika Syarikat, Eropah, China dan Singapura.

"Apa yang penting adalah mencari calon yang sesuai yang mana memerlukan penilaian menyeluruh,” katanya.

--BERNAMA