Polis gagalkan 25 rancangan pengganas sejak 2013

  • 5 years ago
Polis menggagalkan 25 rancangan pengganas di negara ini sejak 2013.

Antaranya serangan berskala besar ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

74 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan keganasan termasuk merancang serangan keganasan dan mengumpul dana bagi serangan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kejayaan mematahkan serangan dirancang pengganas itu adalah hasil risikan polis dan perkongsian maklumat yang diterima daripada pelbagai pihak.

Jelasnya, undang-undang berkaitan pencegahan berperanan penting dalam usaha membendung kegiatan keganasan dan setiap negara termasuk Malaysia, mempunyai undang-undang khusus menangani keganasan atau pencegahan.

Ini kerana pihak berkuasa berdepan ancaman berbeza jika dibanding dahulu hingga kini.