Tiga warga M'sia cedera susulan kekecohan di Gelora Bung Karno

  • 5 years ago
Tiga warga Malaysia cedera dalam kekecohan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 antara Malaysia dan skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, yang menyaksikan skuard Harimau Malaya menewaskan tuan rumah dengan keputusan 3-2.

Menerusi satu klip video yang dimuat naik ke Facebook Harimau Malaya, seorang penyokong Malaysia yang dipercayai cedera terkena balingan suar penyokong Indonesia, diusung pasukan perubatan keluar dari kawasan tempat duduk.

Seorang lagi penyokong Malaysia patah tangan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dari serangan penonton tuan rumah.

Sumber memberitahu, mangsa yang dikenali sebagai Izhar Atan kini mendapat rawatan lanjut di sebuah hospital di Jakarta.

Seorang lagi pula cedera di kepala dan belakang akibat terkena objek yang dibaling penyokong Indonesia. Dia bagaimanapun dikatakan hanya mendapat pesakit luar.

Sementara itu, ratusan penyokong Malaysia hanya dibenarkan keluar dari stadium kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi selepas kawasan disitu disahkan selamat.