Anwar akan bertemu Dr M bincang isu hukuman Wan Ji

  • 5 years ago
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara setahun di bawah Akta Hasutan yang dikenakan terhadap penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan hukuman terhadap Wan Ji sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran.

"Saya akan merujuk perkara ini dan akan dibincangkan dengan perdana menteri.

"Hari ni tak mahu ganggu (Dr Mahathir) sebab kita nak ucap selamat hari jadi dan ulang tahun, nak dia tenang dan gembira," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Semalam, Wan Ji mula menjalani hukuman penjara selepas mahkamah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji, dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah

Namun, beberapa pihak dan badan hak asasi mengkritik hukaman itu, dengan Suaram menggesa Peguam Negara Tommy Thomas memberi penjelasan.

Peguam Syahredzan Johan pula mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan yang membuat rayuan bagi hukuman lebih berat dalam kes mahkamah melibatkan Wan Ji.

Bagaimanapun, Anwar hari ini enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai peranan peguam negara dalam kes tersebut.

"Cukup setakat itu, jelas," jawabnya ringkas.