1 Syawal kembali gemuk?

  • 5 tahun lalu
EH, takkan selepas 30 hari berpuasa, bila tiba hari raya terus naik berat badan?

Ya, jangan terkejut kalau masuk minggu kedua bulan Syawal, seluar raya tidak lagi boleh dikancing, baju kurung mula sendat.
Semuanya gara-gara tidak kawal makan semasa mengunjungi sanak saudara dan rumah terbuka rakan-rakan. Malah ada yang naik berat badan dua hingga empat kilogram selepas masuk minggu kedua hari raya.

Macam mana boleh berlaku sedemikian? Memang tidak mustahil. Bayangkan dalam tempoh seminggu cuti raya, setiap hari pulun habis berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat taulan. Masuk minggu kedua dan seterusnya, setiap minggu sibuk pula memenuhi jemputan rumah terbuka. Malah selepas 30 Syawal pun ada juga yang terlajak buat jamuan.

Justeru, jika tidak dikawal pengambilan makanan, tidak mustahil naik mendadak berat badan.