Datuk Bandar Iskandar Puteri didakwa sabotaj peniaga tempatan

  • 5 years ago
Ramai usahawan tempatan kecewa selepas gagal untuk mendapatkan lesen perniagaan bazar Ramadan di Gelang Patah Johor.

Beberapa Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengadakan sidang akhbar pada Ahad mendakwa Datuk Bandar Iskandar Puteri Adib Azhari Daud telah mensabotaj peniaga tempatan kerana gagal mengeluarkan lesen kepada mereka sebagaimana yang dipersetujui pada mesyuarat jawatankuasa pelesenan bulan lalu.

Ahli majlis tempatan, Mohd Azam Mektar berkata demikian pada sidang media yang dimuat naik di Facebooknya.

Menurutnya, selepas perbincangan lanjut, datuk bandar bersetuju mengeluarkan 30 lesen kepada peniaga walaupun mesyuarat awal memutuskan untuk memberi 100 lesen.

Bagaimanapun, katanya lagi, jawatankuasa pelesenan MBIP hanya memaklumkan kepada penganjur tapak bazar Ramadan sehari sebelum bulan puasa bahawa cuma 30 lesen sahaja yang diluluskan.

Jelasnya, majlis bandaraya itu menerima laporan daripada orang ramai bahawa terdapat juga bazar Ramadan yang beroperasi tanpa lesen di Jalan J/1 Taman Nusantara.

Mohd Azam berkata sikap berdolak-dalik datuk bandar mengenai perkara itu walaupun selepas mesyuarat awal memutuskan sebaliknya dapat ditanggapi sebagai penyalahgunaan kuasa dan merupakan suatu sabotaj terhadap ahli majlis tempatan serta kerajaan negeri di bawah PH.

Selain Azam, ahli-ahli MBIP yang turut hadir sidang akhbar iaitu Hafizee Adha Norzamri, Choong Thong Yuen dan Ng SIam Luang menggesa datuk bandar untuk tampil membuat penjelasan.

Sementara itu, pejabat Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon dalam suatu kenyataan berkata sedang meneliti laporan daripada MBIP.

Malaysiakini sedang menghubungi Adib Azhari bagi mendapatkan ulasan beliau.