Opick bawa rambut Nabi Muhammad dari Turki

  • 5 years ago
Penyanyi lagu keagamaan Indonesia, Opick diberi kepercayaan oleh Dewan Ulama Tarikat Antarabangsa dan pemerintah Turki untuk menjaga sehelai rambut Nabi Muhammad SAW.

Opick berkata, keaslian rambut itu menimbulkan keraguan kepada segelintir pihak, justeru, dia memutuskan untuk pergi ke Turki bagi menyelidik siapa pewarisnya.

Untuk rekod, rambut dimiliki Opick itu mempunyai sijil pengesahan daripada pemerintah Turki dan Dewan Ulama Tarikat Antarabangsa.

Menurut Opick, rambut Nabi Muhammad SAW akan disimpan di Rumah Tombo Ati, Pulau Gebang, Jakarta Timur - sekolah agama dikendalikan Opick - selain dilindungi dan dibacakan al-Quran selama 24 jam.

Orang yang membaca al-Quran itu pula akan bersilih-ganti, dan kebetulan Rumah Tombo Ati terdapat penghafal kitab suci itu yang boleh khatam sebanyak tiga hingga empat kali sehari.

Pemilik nama penuh Aunur Rofiq Lil Firdaus itu juga membenarkan tetamu yang datang melihat rambut untuk mengaji di sekolah agama berkenaan.

Menurut Opick, 45, pada awal dia dibenarkan untuk membuka rambut tersebut hanya dua kali setahun iaitu pada saat berlakunya sambutan Israk Mikraj dan perayaan Maulud Nabi.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Cahaya Hati itu meminta izin untuk membuka rambut tersebut sebanyak tiga kali, iaitu tambahan untuk Awal Muharam.

Sehelai rambut Nabi Muhammad SAW disimpan dalam sebuah tabung lutsinar dan ditutup dengan penutup berwarna putih.

Ditanya bagaimana proses pemerintah Turki dan Dewan Ulama Tarikat Antarabangsa memberikan rambut Nabi Muhammad SAW, Opick bagaimanapun tidak menjelaskan ia secara terperinci.

Bahkan, kata Opick, dia sendiri sukar untuk mempercayai mengapa sampai diberi kepercayaan untuk menyimpan rambut berkenaan.

Recommended