Isu Matrikulasi - Mereka yang kritik perlu bagi cadangan

  • 5 years ago
Anggota Parlimen Port Dickson dan juga bekas Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim berpendapat keputusan kerajaan menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya bersifat sementara.

Menurut Anwar beliau percaya kementerian akan merangka satu polisi kemasukan ke program berkenaan yang akan dapat merangkumi semua kaum.

"Ada yang bimbang keputusan menambahkan pengambilan pelajar India akan menjejaskan jumlah yang diperuntukkan kepada pelajar Melayu.

"Saya percaya keputusan menambahkan kerusi matrikulasi adalah satu susunan sementara selepas terdapat ketegangan.

"Kami tak nak mereka fikir kita ambil daripada Melayu. Jadi kami memperbesarkan 'kek' (jumlah kerusi matrikulasi)," katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah "Global Citizenship Award" daripada Saturna Capital Corporation di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, KPM mengumumkan jemaah menteri bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi KPM kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.

KPM turut memberitahu kuota pengambilan pelajar dikekalkan pada kadar 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus kepada bukan bumiputera.

Namun, keputusan jemaah menteri tidak disenangi segelintir pihak yang menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai 'BN 2.0' kerana masih mengekalkan sistem kuota.

'Mereka yang kritik perlu bagi cadangan'

Bagaimanapun, Anwar mempertahankan keputusan jemaah menteri dengan mendakwa mereka yang mengkritik tidak memberikan sumbangan kepada pembangunan pendidikan negara.