TERKINI : Kemungkinan MARA di Bawah Kementerian Pembangunan Usahawan

  • 5 years ago
Terdapat kemungkinan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan diletakkan semula di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, kata Timbalan Menterinya, Dr. Hatta Ramli

Tambah beliau, perkara tersebut telah dibincangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md. Yusoff dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Terdapat satu komponen di dalam Mara yang melibatkan keusahawanan tetapi saya tidak berani komen. Biar Perdana Menteri yang buat pengumuman.

“Mara adalah sebuah institusi yang besar dan memainkan peranan yang sangat penting di dalam pelbagai bidang bukan sahaja keusahawanan.

“Memang ia lebih sesuai di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan supaya kami boleh mengkordinasi dan memperkukuhkannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog dengan Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia di sini hari ini.

Selain Mara, Dr. Hatta berkata, Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) akan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

SEDIC yang ditubuhkan sejak 2014, sebelum ini berada di bawah portfolio Jabatan Perdana Menteri.

Untuk rekod, Kementerian Pembangunan Usahawan pernah ditubuhkan pada 1995 dengan bertujuan untuk memberi tumpuan dan penekanan khusus terhadap pembangunan usahawan Bumiputera untuk mempercepatkan pencapaian matlamat pewujudan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Penyusunan semula kementerian sebagaimana pada 27 Mac 2004 memperlihatkan Kementerian Pembangunan Usahawan telah diberi nama baru iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan tambahan tanggungjawab terhadap Jabatan Pembangunan Koperasi, Maktab Kerjasama Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat Berhad.

Kementerian itu bagaimanapun dimansuhkan pada 2009 dan agensi di bawahnya dibahagi-bahagikan kepada kementerian – kementerian lain antaranya KPLW, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).-MalaysiaGazette

MalaysiaGazette.com - Online News / Portal - Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com

Recommended