Sharifah Food bermula modal RM50

  • 5 tahun lalu
KUALA LUMPUR 14 April - Bermula dengan modal RM50, Rohani Borhan menjual nasi lemak di sebuah gerai di Gelugor, Pulau Pinang secara kecil-kecilan.

Melihat potensi di dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang tidak pernah putus permintaannya, beliau nekad untuk terus ke hadapan dengan menubuhkan SHRF Food Industries Sdn. Bhd.

Rohani yang merupakan Pengarah Urusan syarikat itu kini menawarkan produk makanan ‘ready to cook’ dan ‘ready to eat’ jenama Sharifah meliputi lebih 40 unit simpanan stok (SKU).

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengeksport produk ke Arab Saudi, Singapura, Brunei, Korea Selatan dalam tempoh terdekat,

“Peluang sememangnya ada, cuma kami perlu mempertingkatkan lagi kapasiti pengeluaran ke skala yang lebih tinggi. Dalam hal ini, bantuan kerajaan dari skala peniaga ke peringkat usahawan kecil sudah banyak.

“Tetapi, bantuan buat usahawan sederhana ke peringkat lebih besar, tidak banyak justeru memberi cabaran kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) seperti kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Produk Sharifah memiliki pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil ISO 22000 serta persijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Produk ‘ready to eat’ termasuk pelbagai jenis Nasi Goreng dan Nasi Briyani Gam Kambing antara yang popular dalam kalangan orang ramai lebih-lebih lagi pengembara ke negara yang sukar mendapatkan makanan halal.

SHRF Food Industries ditubuhkan sejak 2009 bertempat di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar), Batu Caves, Selangor.

Ujar Rohani lagi, beliau sedang mencari dan membuka peluang kepada usahawan yang berminat untuk bekerjasama dengan SHRF Food Industries bagi menjual produk Sharifah menerusi mesin layan diri.

“Mesin layan diri ini sesuai diletak di pelbagai lokasi seperti di hostel universiti misalnya, mahupun di hospital kerana, dengan menggunakan teknologi terkini, makanan yang ditawarkan adalah berkhasiat dan tempoh penyediaannya adalah pantas.

“Orang ramai berminat untuk bekerjasama dengan kami boleh menghubungi talian 03-61776177,” jelas beliau.

Habis.