Video ikan mati di Pasir Gudang palsu

  • 5 years ago
Sebuah video tular kononnya menunjukkan ratusan ikan mati akibat pencemaran di Pasir Gudang, adalah palsu, kata Jabatan Perikanan.

Jurucakap jabatan beritahu Malaysiakini bahawa tiada insiden seperti digambarkan dalam video berkenaan berlaku di mana-mana kawasan Pasir Gudang.

"Video itu palsu, dan tidak berlaku di Sungai Kim-Kim atau di (perkampungan) Kong Kong," kata jurucakap Jabatan Perikanan.

Pegawai Daerah Jabatan Perikanan Johor Bahru Pravin Selvaraja juga berkata beliau telah menghubungi semua penternak ikan di kawasan Pasir Gudang dan didapati tiada insiden seperti dalam video tersebut.

"Tak ada masalah ikan mati," kata Pravin.

Beliau juga berkata tiada ladang ikan berhampiran Sungai Kim Kim, sebaliknya hanya terdapat ladang udang.

Kata beliau, pengusaha ladang udang tersebut telah menghentikan aliran air Sungai Kim Kim ke ladangnya berikutan pencemaran yang berlaku di kawasan tersebut.

Pencemaran toksik di Pasir Gudang dipercayai berlaku akibat pembuangan sisa kimia secara haram di Sungai Kim Kim.

Ratusan orang telah mendapat rawatan akibat terkesan dengan gas toksik, dan semua sekolah di Pasir Gudang juga telah ditutupkan.