Dr Asri ulas isu LGBT, sebatan 2 wanita di Terengganu

  • 6 years ago
Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin menasihatkan orang ramai tidak ekstrem ketika membahaskan isu sebatan syarie terhadap pasangan lesbian di Terengganu, kelmarin.

Beliau antaranya menegur pengkritik yang sentiasa tidak bersetuju dengan sesuatu yang dikaitkan dengan syariah.

Bagaimanapun, katanya, pembela hukuman itu juga tidak boleh menyifatkan pengkritik sebagai “anti-Islam” kerana hukuman itu cuma takzir, bukan hudud.

“Takzir ini keputusan yang dibuat oleh hakim, keputusan yang dibuat manusia, bukan ada nas daripada nabi SAW,” katanya menjawab soalan dalam rakaman video di media sosialnya.

Kelmarin, pasangan lesbian 32 dan 22 tahun disebat enam kali dalam dewan di mahkamah syariah di Terengganu setelah disabitkan bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis di dalam kereta.

Sebatan itu dikatakan yang pertama seumpamanya berlaku di negara ini.