Rohm Wako terus komited melabur di Malaysia

  • 6 tahun lalu
Osaka 10 April - Rohm Wako Co Ltd menyatakan komitmennya untuk terus melabur di Malaysia khususnya Kelantan bagi membantu meningkatkan tahap ekonomi penduduk di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Yosuke Yoshioka berkata, syarikat pengeluar diod terbesar di di dunia itu mempunyai sejarah yang panjang dengan negeri di pantai timur tersebut.

Beliau berkata, buat masa ini, kilangnya yang berada di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa menyediakan 2,100 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.


“Kita akan menambah pekerja sehingga 2,600 orang selepas bangunan baharu berfungsi sepenuhnya.

“Buat masa ini kita menguasai 20 peratus pasaran diod dunia dan akan ditingkatkan kepada 30 peratus dengan pengeluaran 1 bilion unit sebulan kepada 2 bilion unit sebulan dalam masa terdekat di kilang di Pengkalan Chepa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Mustapa bersama delegasi perniagaan Malaysia berada di negara ini untuk misi perdagangan di Osaka dan Tokyo. - UTUSAN ONLINE