RMK-11 lonjak negara ke tahap lebih maju - Muhyiddin

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 21 Mei - Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mampu melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih maju menjelang tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin melalui enam teras strategi dalam RMK-11 itu, Malaysia mampu menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi berdasarkan acuan kita sendiri.

Bagaimanapun, jelas beliau, untuk menjayakan matlamat RMK-11, ia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya perlu penglibatan seluruh rakyat secara inklusif.

"Dokumen RMK-11bukan dokumen kerajaan semata-mata. Ini hak rakyat. Untuk menentukan kejayaan RMK-11 perlu ada penglibatan rakyat, bukan sahaja pimpinan kerajaan atau ahli politik tetapi penglibatan inklusif segenap rakyat.

"Hal ini berbalik kepada soal pokok iaitu kerjasama, perpaduan, saling bantu membantu serta mengelak perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi pembentangan RMK-11 oleh Perdana Menteri, di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, enam teras strategi RMK-11 itu ialah meningkatkan pendapatan isi rumah kumpulan sederhana daripada RM2,500 kepada lebih RM5,000 selepas tahun 2020.

Katanya, aspek pembangunan insan meliputi bidang pendidikan dan latihan juga menjadi fokus dalam RMK-11.

"Saya perlu teliti peruntukan yang disediakan untuk lima tahun ini. Kita mahu melahirkan rakyat berkemahiran. Kemahiran baharu mampu meningkatkan pendapatan rakyat," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan.

Aspek lain yang turut dianggap penting ialah pembangunan di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak dengan matlamat mengurangkan kemiskinan dan mereka yang berpendapatan rendah.

Disyorkan