Saya juga anak Jins Shamsudin - Hang Tuah

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 10 April - Cerita sebenar berapa jumlah anak Tan Sri Jins Shamsudin menjadi lebih menarik apabila hari ini, seorang lelaki bernama Hang Tuah @ Shazrin Mohamad Zain, 41, tampil dan mendakwa beliau juga anak seniman tersebut.

Sehubungan itu, Hang Tuah turut menafikan laporan-laporan media yang memetik isteri Jins, Puan Sri Halijah Abdullah bahawa anak pelakon veteran tersebut tiga orang sahaja.

Hang Tuah yang ditemani dua orang peguam, Abdul Malik Mokhtar dan Saiful Adli Mohd. Arshad mendakwa, sebenarnya Jins mempunyai empat orang anak dan bukannya tiga orang.

"Saya adalah anak Jins Shamsudin. Ibu saya bernama Jamilah Shukor dan saya ada dokumen pengesahan bahawa saya ini anak Jins Shamsudin, " katanya pada sidang media di sini petang tadi.

Cerita mengenai jumlah sebenar anak Jins bermula apabila media seperti Utusan Malaysia menyiarkan artikel berdasarkan kenyataan isteri seniman Jins, Halijah Abdullah pada Februari lalu bahawa anak Jins hanya tiga orang.

Hang Tuah berkata, satu lagi bukti kukuh yang menyokong dakwaan beliau adalah juga anak Jins ialah berdasarkan buku biografi Jins berjudul Suria Kencana yang ditulis oleh Mohd. Zamberi A. Malek dan dicetak oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam siri Memoir UKM pada 1998.

Hang Tuah mengakui, beliau tidak rapat dengan Jins mahupun ibu kandungnya, sebaliknya beliau dibesarkan oleh ibu saudaranya yang juga kakak Jins bernama Hazizom Samsudin, 82.

"Sejak kecil saya dipelihara dan dibesarkan oleh ibu saudara yang saya panggil mak. Saya dibesarkan di kampung iaitu di Taiping, Perak.

"Cuma 10 tahun ke belakang ini baharulah saya rapat dengan ibu kandung saya," katanya yang pernah berkhidmat sebagai juruterbang syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X selama 10 tahun tetapi berhenti setahun yang lalu dan beralih pula ke bidang hartanah.

Menjawab soalan pemberita, Hang Tuah berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan Jins, yang kini menghidap penyakit alzheimer, ialah pada tahun 2011.

"Selama empat tahun saya tidak bertemu beliau dan saya ada sebab peribadi yang tidak perlu saya kongsikan di sini mengapa saya tidak mengunjungi beliau.

"Saya juga sibuk dan itu salah satu daripada sebab mengapa saya tidak bertemu dengannya," jelasnya.

Hang Tuah menambah, beliau didesak oleh keluarga dan kawan-kawan yang mahukan beliau tampil memberitahu umum bahawa beliau juga salah seorang anak seniman filem Melayu klasik itu.

"Itulah sebabnya saya mengambil masa sebelum mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan kenyataan Puan Sri Halijah itu tidak benar dan laporan yang dikeluarkan dalam akhbar pada awal tahun ini juga tidak tepat," katanya.

Hang Tuah berkata, beliau mahukan haknya sebagai anak Jins diterima oleh ibu tirinya dan tidak lagi dipersoalkan tentang perkara itu pada masa akan datang. - UTUSAN ONLINE