23,871 rujuk aplikasi MyKira GST untuk banding harga

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 2 April - Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semalam menyaksikan kira-kira 23,871 pengguna merujuk aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST bagi membuat perbandingan harga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, penggunaan aplikasi berkenaan menunjukkan rakyat memberi perhatian terhadap pelaksanaan GST.

"Daripada jumlah tersebut, dalam lingkungan harga berpatutan ada 4,513 aduan, di luar julat 8,618 aduan dan tak ada dalam rekod pulak sebanyak 10,742 aduan," kata Hasan kepada media hari ini.

Hasan bercakap dalam sidang akhbar selepas melakukan Operasi Bersepadu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) - Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK di pusat beli belah Midvalley Mega Mall di sini pagi tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad dan Pengarah Penguat kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin.

Hasan berkata, pelaksanaan GST semalam menyaksikan 7,770 premis diperiksa oleh KPDNKK.

Antara premis yang diperiksa adalah 33 pengilang dan pengedar, 468 pasar raya besar, 1,076 perkhidmatan dan 3,055 kedai makan.

"Saya berpuas hati dengan perlaksanaan GST kerana semua pihak beri kerjasama. GST yang bertujuan memberi keuntungan kepada rakyat akan tercapai," kata Hasan.- UTUSAN ONLINE