Perkongsian bijak dalam dunia fesyen hijab

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 24 April - Dunia fesyen hijab di negara ini hari ini melangkah maju dengan satu perkongsian bijak apabila butik fesyen terkemuka Galeri Ariani menjalinkan kerjasama dengan peneraju jenama pelembut fabrik dunia, Comfort.

Pengarah Pemasaran, Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Farah Haryani Muhammad Philip berkata, kerjasama tersebut bakal memberikan kepuasan yang lebih tinggi kepada para pemakai tudung khususnya pelanggan tudung Ariani.

"Kami berasa bertuah kerana Comfort turut menitikberatkan kualiti yang tinggi seiring dengan matlamat kami.

"Dengan adanya kelembutan dan keharuman Comfort, pemakai-pemakai tudung Ariani dapat tampil dengan lebih anggun dan berkeyakinan tinggi," tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran, Unilever (M) Holding Sdn Bhd, Herry Budiazhari berkata: "dengan kesegaran dan keharuman berpanjangan yang dijanjikan oleh Comfort, pastinya rangkaian tudung dan selendang Ariani akan menjadi kegemaran ramai wanita yang meminati fesyen hijab," kata beliau.

Beliau berkata, menjelang akhir bulan April, pelanggan-pelanggan juga akan dapat merasai pengalaman baharu apabila mengunjungi Galeri Ariani apabila galeri berkenaan disegarkan dengan haruman Comfort.- UTUSAN ONLINE