"Saya rasa malu," kata Noh

  • 7 years ago
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar meninjau sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dan berkata beliau terkejut dengan apa yang dilihatnya.

Dakwanya, walaupun kawasan itu dimenangi oleh Datuk Iskandar Samad yang juga exco kerajaan tempatan di Selangor, keadaan rumah di kawasan itu teruk sekali.

“Bumbung bocor teruk dan tak ada pembelaan, cat yang sudah 20 tahun tidak dicat, pam air dari enam tinggal tiga.

“Dan satu saja Iskandar bagi selepas itu dah tak datang dah," kata Noh yang meninjau sekitar kawasan Angsana Hilir.

Noh berkata demikian dalam majlis penyerahan sumbangan golongan kurang berkemampuan dan anak yatim serta sumbangan surau-surau parlimen Pandan di balai bomba Pandan Indah.

Beliau juga membidas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan meminta rizab negeri yang tinggi di Selangor digunakan bagi memperbaiki keadaan perumahan negeri.

"Dia pun exco kerajaan gunakanlah rizab yang dia ada berbilion-bilion itu baiki.

“Saya pun dah turun dua,tiga tempat dan ada banyak lagi yang perlu dibantu dan belanjalah duit kerajaan negeri yang menteri besar tak tahu nak guna itu," sindir Noh.