Insiden penumpang diheret keluar dalam pesawat United Airlines

  • 7 years ago
Gara-gara tiket penerbangan ditempah melebihi had, seorang lelaki enggan turun secara sukarela seperti diminta pihak United Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa O'hare di Chicago, pada Ahad lalu.

Ini mengakibatkan satu insiden kekasaran berlaku di antara lelaki itu dengan pihak pengawal keselamatan.

Menurut saksi yang merakam kejadian itu, lelaki itu menjerit dan meronta apabila ditarik dari tempat duduknya lalu diheret keluar ke terminal penerbangan.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan hanya memohon maaf kerana penerbangan terlebih tempahan dan berkata polis dipanggil selepas seorang penumpang "enggan untuk meninggalkan pesawat itu secara sukarela."

Difahamkan, lelaki tersebut adalah seorang doktor berketurunan Cina dan ditawarkan pampasan sebanyak US$1,000.