Peneroka dakwa jualan kayu kurang sehingga RM60,000

  • 9 years ago
Sekumpulan peneroka Felda Kepis, Negeri Sembilan hari ini menuntut pengurusan Felda menjelaskan isu penjualan kayu getah mereka yang didakwa jauh lebih tinggi rendah, sehingga RM60,000 berbanding tanah rancangan berdekatan.

Ahli jawatankuasa bertindak Felda Kepis Mad Zain Mahat berkata, jualan kayu getah peneroka Felda Bukit Rokan - bersebelahan Felda Kepis - antara RM98,000 hingga RM104,000 untuk sepuluh ekar yang diperoleh mereka.

Bagaimanapun, dakwanya, jualan kayu di Felda Kepis, hanya antara RM30,000 hingga RM39,000 untuk keluasan sama.

"Kami tak pernah dimaklumkan dengan jelas dan terperinci harga sebenar kayu getah yang mereka bida pada pihak kontraktor. Tak ada surat perjanjian jual beli atau perjanjian yang sah sebelum, semasa atau selepas proses penjualan kayu-kayu getah...

"Bila kami tanya berapa harga, mereka (pengurusan Felda Kepis) kata rahsia. Di sebalik itu, berjalan (proses penjualan) juga. Apa yang rahsia pun tak tahu," dakwanya kepada pemberita di hadapan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Detta Samen.

Seramai 30 orang peneroka Felda Kepis hadir ke Suhakam hari ini bagi menyerahkan memorandum berhubung masalah tanaman semula ladang peneroka oleh pengurusan Felda tersebut.

Turut hadir Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan peguam yang mewakili peneroka T Kumar.

Selain itu, Mad Zain turut mendesak agar proses tanaman semula pokok getah yang telah lewat setahun itu disegerakan.

"Mereka dah lewat kira-kira setahun lebih dari tarikh penebangan. Hingga hari ini peneroka tidak diberitahu oleh pengurusan dan pentadbiran Felda bila tarikh tanam semula akan dilakukan. Masalah dan kelewatan proses tanam semula ini jauh berbeza dengan proses tanam semula Felda lain.

"Program tanam semula di Felda Bukit Rokan jauh lebih baik. Jadi saya minta agar langkah segera diambil jika sekiranya berlaku penyelewengan dan salah laku dalam proses tanam semula ini," katanya.

Cameraman/Editor: Fendi Zulkfley

Category

📺
TV

Recommended